PELAJAR KPSK MENCUNGKIL KEBOLEHAN SENI ORANG KURANG UPAYA (OKU) DI KARNIVAL CASAxOKU 2025

13 Disember 2024 - Karnival CASAxOKU 2025 memberikan peluang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menunjukkan bakat terpendam mereka di dalam sebuah program yang dikendalikan oleh pelajar Pengajian Seni Liberal dari Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Kampus Puncak Perdana, bertempat di Tingkat tiga, Blok Akademik, UiTM Puncak Perdana. Pelajar-pelajar Kolej Pengajian Seni Kreatif yang terlibat dalam penganjuran karnival ini sangat teruja untuk menyambut kedatangan golongan istimewa ke karnival ini dengan tujuan meraikan serta berkongsi pengalaman dan kegembiraan bersama mereka. Mungkin sesetengah daripada mereka belum pernah merasai pengalaman dalam suasana akademik untuk berinteraksi dengan pelajar dan pensyarah. Oleh itu, Inisiatif ini juga dapat merapatkan jurang dan menzahirkan keprihatinan terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Seramai 438 orang pelajar semester 1 hingga 4, peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, Pengajian Seni Liberal dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Puncak Perdana terlibat menganjurkan Karnival CASAxOKU 2025 yang bermula dari 16 hingga 18 Januari 2025 bertempat di Tingkat Tiga, Blok Akademik, UiTM Puncak Perdana. Produksi Euphoria telah diberikan kepercayaan dalam melaksanakan acara ini dengan objektif utamanya adalah untuk membawa CASA ke arah gaya pemikiran pelajar yang fleksibel menerusi tema CASAxOKU. Selain menjenamakan Pengajian Seni Liberal, Produksi Euphoria berusaha membawa suasana yang berbeza untuk membuka minda para pelajar untuk terus bereksperimentasi dalam menghasilkan impak yang lebih positif.

Antara individu OKU yang akan menyertai program ini ialah seorang yang merupakan OKU penglihatan dan seorang lagi individu dengan autisme. Kedua-dua mereka memiliki bakat luar biasa dalam memainkan alat muzik. Keberanian mereka untuk tampil dan berkongsi bakat di hadapan masyarakat merupakan sesuatu yang amat menginspirasikan. Walaupun berdepan dengan cabaran dan keterbatasan, mereka menunjukkan bahawa kekuatan dalaman mampu mengatasi segala halangan.

CASAxOKU 2025 diadakan sebagai satu aktiviti komuniti bergerak yang menguji minda dan emosi pelajar. Program yang amat bermakna ini mendapat perhatian daripada pihak luar apabila mereka menerima banyak sumbangan dan salah satu penaja utama adalah “Hausboom”. Setiap sub-acara bagi karnival ini telah dipromosikan secara besar-besaran melalui platform media sosial Pengajian Seni Liberal yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang mempraktikkan subjek Promosi dan Publisiti.

Antara program menarik yang disediakan selama tiga hari termasuk:

1.    Simfoni Tanpa Batasan - Menyatukan Bakat, Melangkaui Batas - Sebuah projek persembahan seni yang bertujuan meraikan bakat-bakat unik dan luar biasa dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam bidang muzik, nyanyian, dan tarian.

2.    Tangan Yang Melihat - Kompilasi acara yang akan meningkatkan kesedaran orang awam dengan cabaran harian yang dihadapi oleh individu kurang upaya penglihatan.

a)    BI-CARA Mengimani Takdir - satu wacana yang memaparkan isu-isu seperti aksesibiliti,stigma sosial, dan pengalaman peribadi OKU penglihatan.

b)    Pameran Gema Cahaya - pameran simulasi yang membolehkan pelajar atau tetamu yang hadir untuk mengalami sendiri kaedah berjalan seperti OKU penglihatan.


3.    Talk Show Emansipasi Unik: Insan Magis - Program talk show ini mempunyai beberapa segmen yang memfokuskan topik kekeluargaan, mempromosikan produk OKU, dan mewara-warakan program melalui video (pre-record).

4.    Trade-sure Hunt: Hunt the Treasure - Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran para pelajar terhadap setiap kategori OKU yang ada iaitu Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan, Kurang Upaya Fizikal, Masalah Pembelajaran, Kurang Upaya Pertuturan, Kurang Upaya Mental, dan Kurang Upaya Pelbagai.

5.    Cinemove Unisinema Suara Tanpa Batas - Cinemove berfungsi sebagai platform kreatif untuk pelajar mempersembahkan dan mempromosikan filem tempatan dan antarabangsa, sambil mendapatkan pengalaman praktikal dalam pengurusan acara dan industri filem.

6.    Bengkel Lukisan Artesable Arena - Melalui program ini, peserta mengembangkan kreativiti mereka melalui teknik-teknik seni lukisan Chinese Ink Painting yang unik, diajar oleh tenaga pengajar yang mempunyai kelulusan dalam Chinese Ink Landscape Art, di China Academy of Art.

7.    EntrepreNation@Pundana - Acara ini menyediakan ruang gerai jualan yang turut menampilkan produk hasil usaha golongan orang kurang upaya (OKU) serta mempamerkan karya seni kreatif mereka.

a)  Pentas Casacoustic - Acara ini juga menampilkan persembahan langsung seperti mini busking, di mana bakat terselindung dalam kalangan OKU, kumpulan penyanyi popular serta pelajar Pengajian Seni Liberal dalam bidang muzik dan persembahan. Antara barisan penyanyi yang bakal memeriahkan acara ini termasuk Sekumpulan Orang Gila (SOG), Armpunk Syndicate, dan ramai lagi.

b)  Pameran Karya Seni (Pameran: Karya Bakat Terselindung) - Pameran karya seni merupakan komponen utama program ini, mempamerkan hasil seni seperti lukisan, fotografi, seni digital, dan kraf kreatif. Hasil karya ini adalah sumbangan usahawan daripada Persatuan OKU Sentral, yang disediakan untuk tatapan umum. 

Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) akan terus berusaha dalam memastikan penghasilan graduan seimbang yang kompetitif di peringkat nasional dan global serta memperkasa jaringan strategik dengan alumni dan industri, seterusnya dapat menyerlahkan potensi pelajar, tenaga kerja dan mampu bersaing di masa hadapan. Kemahiran insaniah seumpama ini adalah satu esensi bagi pelajar Pengajian Seni Liberal agar bakat mereka diasah dengan sebaiknya dalam memastikan kelestarian kualiti graduan KPSK, sejajar dengan Pelan Strategik UiTM 2025 ke arah Globally Renowned University 2025. Melalui Karnival CASAxOKU 2025, KPSK yakin dapat meningkatkan kesedaran dan empati masyarakat terhadap golongan istimewa ini. Semoga usaha murni ini dapat membentuk jati diri yang sentiasa bersyukur.



 Maklumat lanjut hubungi:

Nur Amelia binti Mohd Zailani

+06016-2002 658

2 comments

  1. wah banyak aktivit menarik dorang buat. Hebat 👏 Status OKU bukan penghalamg untuk laksanakan bermacam aktiviti

    ReplyDelete
  2. Bagusnya pihak yang terlibat menganjurkan acara ni.. Inisiatif yang baik untuk warga oku..

    ReplyDelete

Be nice. Leave a comment and I'll be sure to visit you guys back.
If my post is good, I'll be happy if you could share it. ☆

Please don't publish links or spam~ Thanks! ・*☆